2018: Lembaran Baru Liga Bolasepak Melaka

 In MUSA, News, Press Release

Liga Melaka 2018 bakal membuka lembaran baharu apabila diiktiraf sebagai salah satu daripada Divisyen 5 (M5) Liga Malaysia oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bulan lalu.

Dengan pengiktirafan itu, pasukan juara Divisyen 1 Liga Melaka musim ini bakal ke Liga Divisyen 4 (M4) musim depan bersama juara-juara M5 yang terdiri daripada juara liga negeri, komuniti dan sosial dari beberapa negeri seluruh negara untuk bersaing merebut tempat ke saingan Liga FAM.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), En. Noor Azman Rahman pihaknya akan memastikan penganjuran Liga Melaka khususnya Divisyen 1 musim ini lebih profesional.

“Kita akan memastikan saingan Divisyen 1 musim ini berlangsung secara profesional berbanding musim-musim lalu kerana ia telah menjadi sebahagian daripada sistem piramid bolasepak negara dengan juaranya bakal mewakili Melaka apabila dinaikkan ke saingan M4 bersama-sama juara-juara liga M5 yang lain.

“Bagi memastikan ia lebih profesional, pihak Jawatankuasa Pertandingan Liga Melaka telah menetapkan bahawa hanya pengadil-pengadil yang berkelayakan sahaja yang akan mengadili perlawanan-perlawanan Divisyen 1 Liga Melaka.

“Di samping itu, pembangunan pemain-pemain muda juga tidak dilupakan apabila kita mewajibkan setiap pasukan untuk menyenaraikan pemain-pemain berusia bawah 21 tahun termasuk di dalam kesebelasan utama setiap pasukan yang bertanding.

“Kami di Pihak Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengharapkan semoga Liga Melaka musim ini akan berjalan dengan jayanya serta menyeru kepada semua pasukan yang bertanding supaya dapat menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” jelasnya.

Liga Melaka 2018 bakal membuka tirainya Ahad ini (8 April 2018) bermula dengan perlawanan pembukaan saingan Divisyen 1.

Masih mengekalkan Padang 10 Wisma MUSA sebagai venue pertandingan, saingan liga kali ini disertai sebanyak 51 kelab bolasepak amatur dari seluruh negeri iaitu jumlah penyertaan terbanyak dalam sejarah penganjurannya.

Sambutan menggalakkan itu dilihat sebagai satu perkembangan positif dalam merancakkan sukan bolasepak di negeri ini di samping platform untuk mengetengahkan bakat-bakat bolasepak negeri ini.

Divisyen 1 musim ini menyaksikan sebanyak 13 pasukan bakal bersaing dalam saingan liga dua kumpulan manakala Divisyen 2 bakal disertai 12 pasukan yang juga membabitkan saingan dua kumpulan.

Divisyen 3 pula menyaksikan penyertaan sebanyak 26 pasukan termasuk pasukan-pasukan baharu dengan saingan liga empat kumpulan.

Kami di pihak MUSA mengucapkan selamat beraksi kepada semua pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Melaka 2018, majulah bolasepak untuk negara.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search