Elavarasan Tak Sangka Melaka United Benam Kedah

 In Liga Super 2018, Match Report, MUSA, News, Press Release

Ketua Jurulatih Melaka United, E. Elavarasan memuji disiplin anak-anak buahnya ketika mencipta kejutan menewaskan Kedah dalam saingan Liga Super 2018 di tempat lawan, malam tadi (1 Jun 2018).

Beliau yang tidak menyangka MU mampu mencatatkan kemenangan itu menyifatkan kejayaan menundukkan Kedah adalah hasil disiplin pemain-pemainnya yang mengikut taktikal yang diterapkannya bagi menghadapi Skuad Kenari terutama pada separuh masa pertama.

Katanya, gol pertama MU pada penghujung separuh masa pertama berjaya menaikkan semangat pemainnya untuk meneruskan momentum itu pada babak kedua biarpun peluang kedua-dua pasukan nampak seimbang pada separuh masa kedua.

“Saya rasa pemain tahu paling penting untuk kita cari mata, walaupun satu mata memang penting tapi kita dapat tiga mata memang akan memperbaiki kita punya tangga kita dalam kedudukan liga itu yang paling penting tapi jauh lagi kita kena pergi.

“Jadi saya rasa banyak lagi kelemahan yang kita ada tapi kemenangan ini dapat meningkatkan semangat para pemain untuk lebih berjaya ataupun lebih tersusun untuk perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur.

“Saya rasa semangat pemain untuk berjaya hari ini juga adalah hasil motivasi dua individu iaitu Timbalan Presiden kita Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Khas Ketua Menteri Melaka, Hj Yuhaizad Abdullah yang memberi suntikan semangat untuk pemain sebelum kita ke Kedah selepas kita gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu MU mendahului separuh masa pertama menerusi jaringan penyerang Yahor Zubovich yang merembat masuk bola tolakan ke belakang pemain import baharu, Lee Chang-Hoon yang sebelum itu menerima hantaran daripada gerakan bijak Syahrul Azwari dalam kotak penalti pada minit ke-41.

Separuh masa kedua menyaksikan barisan pertahanan Skuad Hang Tuah terus ampuh mengekang setiap serangan Kedah sebelum jaringan penyerang Kedah, Paulo Rangel dibatalkan kerana berada dalam kedudukan offside pada minit ke-83.

Ketika Kedah masih buntu mencari gol penyamaan, Chang-Hoon sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila menjaringkan gol kedua MU selepas bijak menggelecek penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim selepas menerima hantaran leret Muhammad Fauzi Roslan dari sebelah kiri pada minit ke-89.

Dengan kemenangan itu, MU naik satu anak tangga ke tangga ke-9 dengan 14 mata selepas 13 perlawanan, enam mata di atas ‘zon penyingkiran’.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search