Liga Super 2018: Kuala Lumpur 3-4 Melaka United

 In Liga Super 2018, Match Report, MUSA, News

Melaka United meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-3 dalam saingan Liga Super 2018 di Stadium KLFA, Cheras malam tadi.

Perlawanan menyaksikan Ketua Jurulatih MU, E. Elavarasan menurunkan dua pemain terbaharu yang menyertai pasukan iaitu penyerang import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun dan Mohd Faris Shah Mohd Rosli.

Melaka mendahului perlawanan seawal minit ke-6 hasil jaringan Yahor Zubovich yang menanduk masuk bola hantaran Faris Shah menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee.

KL hampir menyamakan kedudukan apabila rembatan akrobatik Indra Putra Mahayuddin terkena tiang MU ketika Khairul Fahmi Che Mat sudahpun tertewas pada minit ke-12.

Melaka berjaya menambah gol kedua menerusi Syahrul Azwari yang berjaya menyempurnakan bola hantaran Olusegun yang sekali lagi menewaskan Sharbinee hasil serangan balas pantas MU.

Skuad Warga Kota kemudiannya terus ketinggalan apabila Olusegun menyumbat gol ketiga MU selepas beliau berjaya merembat masuk bola hantaran lambung Syahrul Azwari sekali lagi hasil serangan balas pantas MU pada minit ke-34.

Menghampiri waktu rehat separuh masa, KL berjaya mengambil kesempatan merapatkan jurang kepada 3-1 akibat kealpaan pertahanan MU yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk penyerang KL, Paulo Josue merembat masuk bola menewaskan Khairul Fahmi, dua minit sebelum tamat separuh masa.

Separuh masa kedua menyaksikan KL bermula garang dengan melancarkan serangan bertali-arus dalam usaha memburu gol sebelum akhirnya Guilherme de Paula berjaya menanduk masuk bola hantaran rakan sepasukan dari sebelah kanan pada minit ke-49 untuk merapatkan kedudukan 3-2.

Kesilapan pemain pertahanan MU, Khair Jones yang gopoh mengeluarkan bola dari kotak penalti sehingga terkena tangannya membawa padah apabila KL dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-70 sebelum de Paula menyempurnakan penalti itu dengan sepakan deras untuk menyamakan kedudukan 3-3.

Melaka kemudiannya kembali menyusun serangan sebelum Olusegun muncul wira Melaka dengan menjaringkan gol kemenangan selepas berjaya menolak bola masuk hantaran pemain gantian, S. Chanturu dari sebelah kanan pada minit ke-76 untuk Skuad Hang Tuah sekali lagi membawa pulang 3 mata dari tempat lawan.

Dengan kemenangan itu MU naik satu anak tangga ke tangga ke-8 liga dengan 17 mata selepas 14 perlawanan setakat ini, melebarkan jurang kepada 6 mata dari zon penyingkiran.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search