Liga Super 2018: Melaka United 2-2 Pahang

 In Liga Super 2018, News, Press Release

Melaka United meneruskan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan berturut-turut dalam liga selepas berjaya mengikat Pahang 2-2 dalam aksi Liga Super 2018 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pahang mendahului perlawanan seawal minit ke-8 menerusi jaringan Issey Nakajima yang merembat masuk bola selepas menerima hantaran rakan sepasukan.

MU kemudiannya berusaha mencari gol penyamaan dan mendapat peluang menerusi Yahor Zubovich namun rembatan derasnya sedikit tersasar sebelum R. Gopinathan berjaya melepasi perangkap offsaid sebelum berjaya mendapatkan bola lorongan Ifedayo Olusegun dan melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias pada minit ke-15.

Hantaran berbahaya Ifedayo sekali lagi memberikan gol kepada MU apabila bola lorongannya berjaya dikejar Gopinathan sebelum beliau berjaya menggelecek Helmi Eliza dan menolak bola kepada Zubovich yang menyudahkannya dengan gol kedua untuk MU mendahului 2-1.

Ketika separuh masa pertama hampir ke penghujung, Pahang sempat menyamakan kedudukan hasil jaringan penyerang importnya, Amamchi Iwuji yang memusingkan badan sebelum melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi Che Mat pada masa tambahan untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Separuh masa kedua menyaksikan tempo perlawanan agak perlahan dengan Pahang dilihat menguasai perlawanan dan kedua-dua pasukan mendapat beberapa peluang namun tiada sebarang gol terhasil.

Peluang terbaik MU hadir pada minit ke-58 menerusi gerakan solo Ifedayo yang hanya berhadapan dengan Helmi Eliza namun rembatannya ditampan penjaga gol berpengalaman itu manakala Pahang nyaris mendapat gol kemenangan pada penghujung separuh masa kedua menerusi tendangan percuma yang diambil Issey Nakajima, sepakannya tepat ke sasaran tetapi berjaya ditepis Khairul Fahmi.

Keputusan seri itu kekal hingga tamat perlawanan untuk Skuad Hang Tuah mengesahkan pengekalan dalam Liga Super musim depan dengan kini di kedudukan ke-7 liga dengan 25 mata manakala Pahang di kedudukan ke-4 liga dengan 31 mata selepas 20 perlawanan.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search