Melaka United Kekal Rekod Tanpa Kalah Di Hang Jebat

 In Liga Super 2018, Match Report, MUSA, News, Press Release

Melaka United mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri selepas berjaya menewaskan pendatang baharu Liga Super, PKNP FC 2-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

PKNP dilihat mengasak di awal perlawanan namun keampuhan pertahanan MU berjaya mengekang segala percubaan PKNP bimbingan jurulatih, Abu Bakar Fadzim.

MU mendapat gol pertama selepas penyerang dari Belarus, Yahor Zubovich berjaya menolak masuk bola selepas menerima lontaran masuk Puaneswaran dari sebelah kiri untuk MU mendahului pada minit ke-14.

Tidak lama selepas itu, ayam tambatan PKNP, Shahrel Fikri berjaya menggelecek pertahanan MU sebelum melepaskan rembatan leret namun tersasar ke kanan pintu gol MU.

MU mendapat peluang menerusi Zubovich yang melepaskan rembatan deras sebelum ditepis penjaga gol PKNP, Tian Keat See pada minit ke-22.

Pemain tengah MU, Tiago Gomes turut mendapat peluang namun rembatan derasnya dari luar kotak penalti sedikit tinggi melepasi palang PKNP pada minit ke-33 sebelum tampanan Zubovich hasil hantaran Puaneswaran nyaris menerjah jaring PKNP.

Bersambung separuh masa kedua, Zubovich mendapat peluang namun rembatannya dari luar kotak penalty ditepis Keat See.

PKNP turut mendapat beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi dua percubaan Shahrel pada minit ke-55 dan 59 namun penjaga gol MU, Zamir Selamat terus mengekalkan kecemerlangan di tempat sendiri.

Melaka hampir mendapat gol kedua menerusi sepakan percuma Jeon Woo-young yang tepat ke sasaran namun ditepis penjaga gol PKNP pada minit ke-68.

Gol kedua Melaka akhirnya tiba pada minit ke-86 hasil gerakan bijak Zubovich yang berjaya melarikan bola sebelum melepaskan rembatan tepat yang gagal diselamatkan Keat See.

Keputusan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan untuk Melaka United melonjak ke tangga ke-4 liga dengan mengumpul 9 mata selepas lima aksi liga.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search