Negeri Sembilan Tersungkur di Bumi Hang Tuah

 In Liga Super 2018, MUSA, News, Press Release

Melaka United memperbaiki kedudukan di Liga Super selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas pasukan negeri jiran, Negeri Sembilan dalam aksi ketiga liga di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Melaka yang tampil berbeza pada perlawanan kali ini dilihat lebih menguasai perlawanan serta lebih kerap melakukan percubaan berbahaya.

Yahor Zubovich hampir meletakkan Melaka di depan namun tandukannya sedikit tinggi melepasi palang pada minit ke-11 sebelum rembatan Jeon Woo-Young turut melepasi palang.

Zubovich akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol selepas pantas menyambar bola rembatan R. Gopinathan yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Negeri Sembilan, Saiful Amar Sudar.

Melaka United kemudiannya terus menjarakkan kedudukan kepada 2-0 sekali lagi menerusi Zubovich yang menanduk masuk bola sepakan penjuru Shahdan Sulaiman pada minit ke-39.

Babak kedua menyaksikan Melaka terus menguasai perlawanan dan terus menyerang dalam usaha menambah gol.

Mohd Aizulrizwan Razali hampir merapatkan kedudukan 2-1 buat Negeri Sembilan namun jaringan hasil tandukannya dibatalkan kerana offside.

Gol itu menyebabkan pemain Negeri Sembilan hampir hilang punca dan terus dibolosi selepas Zubovich sekali lagi menjadi watak penting apabila berjaya menggelecek pertahanan Negeri Sembilan sebelum melorongkan bola kepada Gopinathan yang mudah menolak masuk bola untuk gol ke-3 Melaka.

Melaka United terus menyerang namun kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan itu Skuad Hang Tuah berjaya naik ke tangga ke-4 liga dengan mengumpul 6 mata selepas tiga perlawanan manakala Skuad Rusa turun ke tangga ke-9 dengan 3 mata.

Tahniah kepada semua pemain, jurulatih dan penyokong Skuad Hang Tuah atas kemenangan bergaya ini, semoga momentum ini dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya menentang juara Liga Super 4 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Johor Bahru pada 24 Februari depan.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search