Peranan Guru-Guru Sukan Penting Cungkil Bakat Bolasepak

 In MUSA, News, Press Release

Pagi tadi berlangsung hari kedua Klinik Kejurulatihan Bolasepak Akar Umbi anjuran Persatuan Bolasepak Melaka united (MUSA) di Bilik Media Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Stadium Hang Jebat.

Program yang dikendalikan oleh Pengarah Pendidikan Kejurulatihan MUSA, En. Richard Sinappan disertai seramai 38 peserta terdiri daripada guru-guru sukan sekolah di seluruh negeri.

Para peserta didedahkan dengan teknik-teknik asas kejurulatihan bagi melatih pemain-pemain di sekolah masing-masing.

Pada program itu juga, Setiausaha Agung MUSA, En. Noor Azman Rahman turut meluangkan masa menyampaikan amanat kepada para peserta.

Beliau dalam ucapannya berkata, peranan guru-guru sukan di sekolah-sekolah seluruh negeri sangat penting sebagai agen bagi pihak persatuan untuk mencungkil dan mengesan bakat-bakat bolasepak di kalangan pelajar mereka.

Beliau turut memaklumkan beberapa perancangan pihak persatuan ke arah memperkasakan pembangunan bakat bolasepak dari peringkat akar umbi untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sehubungan itu beliau turut meminta komitmen guru-guru sukan di seluruh negeri untuk bersama pihak MUSA merealisasikan hasrat itu sebagai usaha berterusan melahirkan pemain-pemain bolasepak profesional yang berkualiti untuk negeri Melaka pada masa hadapan.

Beliau turut berharap menerusi program Klinik Kejurulatihan itu sedikit sebanyak akan dapat memberi panduan kepada guru-guru sukan terlibat untuk mengajar teknik asas bolasepak kepada pelajar-pelajar di sekolah mereka.

Turut berlangsung juga sesi soal jawab antara peserta dan pihak MUSA dan para peserta turut dibawa melawat ke bilik persalinan pemain Melaka United.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search