Piala Belia 2018: B19 MU Selangkah ke Final

 In MUSA, News, Piala Belia 2018, Press Release

Skuad Bawah 19 Tahun (B19) Melaka United melakar kejutan dengan menewaskan B19 Terengganu 2-1 pada pertembungan Separuh Akhir pertama Piala Belia 2018 di Stadium Hang Tuah petang semalam (Rabu, 16 Ogos 2018).

Separuh masa pertama menyaksikan Melaka United mendapat beberapa peluang terbaik untuk mendahului hasil percubaan T. Saravanan dan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar namun tidak menepati sasaran dan tiada sebarang jaringan terhasil pada babak pertama.

Separuh kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun Terengganu terlebih dahulu di depan menerusi sepakan percuma yang diambil Wan Arif Hakimi Wan Ahmad pada minit ke-50.

Tersentak dengan gol pelawat, MU terus mengatur serangan dan mendapat beberapa peluang terbaik namun masih tidak dapat diterjemahkan dengan jaringan sehinggalah pada minit ke-75, Nur Azfar Fikri berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila berjaya merembat masuk bola dari dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Terengganu, Syed Muhammad Irfan Syafiq.

Ketika perlawanan hampir berakhir seri, Muhammad Izreen Izwandy berjaya menceriakan penyokong Melaka pada perlawanan yang turut disaksikan YAB Ketua Menteri yang juga Presiden MUSA, Tn Hj Adly Zahari dengan jaringan kemenangan pada masa kecederaan untuk MU membawa bekalan satu gol bagi aksi Separuh Akhir kedua.

Kemenangan itu sekaligus meleburkan rekod tanpa kalah skuad muda Terengganu bimbingan jurulatih Subri Sulong itu dalam saingan Piala Belia musim ini.

Sementara itu jurulatih B19 MU, Rashid Mamud mengakui bukan mudah menentang Terengganu yang merupakan juara dalam Kumpulan A dan diakui mempunyai antara pertahanan terbaik dalam saingan itu.

“Terengganu memang diakui dalam Kumpulan A dia juara, mereka hanya bolos 6 gol sahaja dan apa yang kita terapkan adalah untuk memastikan pemain lebih berdisiplin dalam taktikal yang kita buat dan Alhamdulillah akhirnya kita menang perlawanan penting ini.

“Untuk perlawanan kedua di Kuala Terengganu nanti kita akan buat post-mortem dan fokus pada perlawanan itu nanti,” katanya selepas perlawanan itu.

Sementara itu, Pengurus Pasukan B19 MU, En. Noor Azman Rahman yang dihubungi ketika beliau di Indonesia menyatakan rasa bangga dengan prestasi menakjubkan yang ditunjukkan skuad belia Melaka itu.

“Kejayaan menewaskan Terengganu adalah sesuatu yang menakjubkan kerana saya difahamkan mereka tidak pernah tewas sepanjang saingan Piala Belia musim ini, saya yakin kemenangan ini akan meningkatkan lagi keyakinan pemain untuk mencipta satu lagi sejarah ke perlawanan akhir Piala Belia buat pertama kali,” katanya.

Perlawanan Separuh Akhir kedua antara B19 Terengganu dan B19 MU akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad ini (19 Ogos 2018).

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search