Piala Belia 2018: Pencapaian Skuad Belia MU Satu Kebanggaan

 In Match Report, MUSA, News, Piala Belia 2018, Press Release, Uncategorized

Harapan Skuad Bawah 19 Tahun (B19) Melaka United untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Belia 2018 tidak kesampaian selepas tewas 1-3 di tangan B19 Terengganu dalam aksi Separuh Akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu petang semalam (Ahad, 19 Ogos 2018).

Pada perlawanan itu, Terengganu mendahului pada minit ke-14 menerusi Muhammad Syafik Ismail yang melepasi perangkap ofsaid sebelum tenang menewaskan penjaga gol Melaka, Muhammad Rabbani Ros Romzi.

Ketinggalan satu gol itu, Melaka melancarkan serangan bertali arus termasuk percubaan jarak jauh Muhammad Izzat Zikri tepat ke dakapan penjaga gol Terengganu, Syed Muhammad Irfan Syafiq pada minit ke-22.

Sebaik memasuki separuh masa kedua, Terengganu terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Wan Muhammad Badrul Muhayat dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran ke atas pemain Melaka, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.

Pemain Melaka T. Saravanan kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan dengan menanduk sepakan penjuru Muhammad Izreen Izwandy untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-50.

Pasukan tuan rumah kembali di depan kembali di depan menerusi jaringan Muhammad Hairiey Hakim hasil penyudah dari jarak dekat pada minit ke-81.

Ketika perlawanan hampir ke masa tambahan, Terengganu dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Muhammad Syaiful Haqim pada minit ke-90 sekaligus memastikan kemaraan Terengganu ke perlawanan akhir Piala Belia 2018 dengan agregat 4-3 biarpun tewas 1-2 dalam aksi pertama di Melaka.

Menanti Terengganu di perlawanan akhir pada Ahad ini (26 Ogos 2018) ini ialah PKNS FC yang menewaskan Kedah agregat 2-0 dalam satu lagi aksi Separuh Akhir.

Menurut Pengurus Pasukan B19 MU, En. Noor Azman Rahman, biarpun tewas para pemain telah menunjukkan prestasi membanggakan apabila berjaya melakar sejarah baharu buat bolasepak belia Melaka dengan mara ke peringkat Separuh Akhir buat pertama kali.

“Saya amat kagum dengan semangat tinggi yang ditunjukkan para pemain yang telah berjuang dari awal musim hingga ke tahap ini.

“Pencapaian skuad pelapis Melaka United ini sehingga ke peringkat ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan oleh seluruh penyokong bolasepak Melaka.

“Setinggi tinggi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua pemain, jurulatih dan semua yang terlibat sehingga pasukan ini berjaya ke tahap ini,” katanya.

Terdahulu Skuad B19 MU layak ke peringkat kalah mati selepas menduduki tempat ke-2 Kumpulan B Piala Belia 2018 dengan hanya satu kekalahan daripada 18 perlawanan sebelum menewaskan B19 Kuala Lumpur dengan agregat 3-2 di peringkat Suku Akhir untuk mara ke Separuh Akhir.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search