Satu Mata Yang Sangat Berharga – Elavarasan

 In Liga Super 2018, MUSA, News, Press Release

Ketua Jurulatih Melaka United, E. Elavarasan menyifatkan satu mata yang diraih menentang Kelantan di Kota Bharu pada perlawanan Liga Super 2018, malam tadi (14 Julai 2018) sangat berharga ketika Skuad Hang Tuah semakin hampir mencapai sasaran untuk kekal dalam Liga Super musim depan.

Beliau berkata, biarpun berjaya mencuri satu mata menerusi sepakan penalti di hujung perlawanan, itu sudah memadai hasil kecuaian pertahanan Kelantan mengeluarkan bola dari kotak penalti.

“Satu mata yang diraih sangat penting sebab itu pun kita dapat di lewat permainan, saya rasa Kelantan tak berapa bernasib baik, sepatutnya mereka boleh menang dan untuk kita pula bernasib baik penalti saat akhir itu dapat menyamakan kedudukan.

“Saya akui agak sukar menembusi bahagian pertahanan Kelantan, selepas mereka menewaskan Selangor, semangat dan komitmen pemain Kelantan dilihat tinggi jadi bila kita ketinggalan 0-1 pemain betul-betul berusaha untuk menyamakan perlawanan dan ia amat sukar.

“Adalah sesuatu yang bukan mudah untuk meraih satu mata di tempat lawan walaupun bila pasukan lawan itu di kelompok bawahan liga, mesti semangat mereka untuk menang itu penting untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam liga, untuk kita menang dengan Kedah tempoh hari mungkin peluang yang kita dapat, tadi pun sama juga saya rasa Kelantan pun ada peluang tapi tak menjaringkan gol, untuk kita peluang tak berapa banyak kalau dibandingkan dengan apa yang Kelantan dapat,” katanya selepas perlawanan itu.

Terdahulu pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV itu, Skuad The Red Warriors bimbingan jurulatih Yusri Che Lah mendahului seawal minit ke-11 hasil gerakan solo Syafiq Shaharudin yang memperdayakan pertahanan MU sebelum membuat rembatan lambung menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

MU kemudiannya berjaya mendapat sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan Kelantan, Ahmad Haziq Ahmad Puad dalam kotak penalti ketika perlawanan sudah memasuki masa tambahan sebelum Yahor Zubovich menyempurnakan penalti untuk Skuad Hang Tuah membawa pulang satu mata berharga dari Kota Bharu.

Dengan keputusan itu, MU kini di tangga ke-7 dengan liga dengan 24 mata selepas 19 perlawanan dan hanya memerlukan satu mata sahaja lagi daripada baki tiga lagi perlawanan liga untuk mengekalkan tempat dalam saingan Liga Super musim depan manakala Kelantan kekal di tangga ke-11 liga dengan 15 mata.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search