SKUAD B19 MELAKA UNITED KE SEPARUH AKHIR

 In News, Piala Belia 2018, Press Release

Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Skuad B19 Melaka United atas kejayaan melangkah ke peringkat Separuh Akhir Piala Belia 2018 selepas menewaskan B19 Kuala Lumpur 3-2 secara agregat hasil keputusan seri 2-2 dalam aksi dramatik Suku Akhir ke-2 Piala Belia 2018 di Stadium Hang Tuah, petang tadi (Khamis, 9 Ogos 2018).

Pada perlawanan itu, Kuala Lumpur bimbingan jurulatih Mohd Sukri Ismail mengejutkan MU dengan gol seawal minit ke-3 hasil jaringan Muhammad Hadi Mizei sebelum Nur Azfar Fikri Azhar menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-31.

Hanya 4 minit selepas itu Kuala Lumpur kembali di depan menerusi jaringan Che Ahmad Rabbani Che Mahmood untuk Kuala Lumpur mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.

Muhammad Izreen Izwandy kemudiannya muncul penyelamat apabila golnya pada minit ke-52 berjaya menyamakan kedudukan sekaligus memberi kelebihan buat MU untuk melayakkan diri ke Separuh Akhir.

Hadir sama menyaksikan perlawanan ialah Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Pengurus Pasukan B19 MU, En. Noor Azman Rahman yang turut meraikan kejayaan bersama para pemain selepas perlawanan itu.

Kejayaan itu melakar satu lagi sejarah baharu buat skuad belia Melaka apabila berjaya ke Separuh Akhir buat pertama kali sepanjang penyertaan dalam saingan Piala Belia.

Tahniah sekali lagi buat semua pemain, jurulatih, pengurusan pasukan dan semua yang terlibat menyumbang kejayaan bermakna buat bolasepak negeri ini daripada kami di pihak MUSA.

#DemiKebanggaanMelaka
#PialaBelia2018

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search