Tahniah Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi

 In MUSA, News, Press Release

Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 2017-2021 yang berlangsung di Wisma FAM Kelana Jaya pagi tadi telah memutuskan untuk memilih Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat-kuasa hari ini (2 April 2018).

Pemilihan beliau sebagai Pemangku Presiden FAM akan berkuat-kuasa sehingga Kongres FAM yang akan datang berikutan pengunduran Presiden FAM, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengumumkan perletakan jawatannya bulan lalu.

Terdahulu, keputusan mesyuarat sebulat suara setuju menerima perletakan jawatan Tunku Ismail biarpun dengan berat hati.

Datuk Wira Mohd Yusoff dalam ucapannya pada mesyuarat itu menyatakan rasa terharu beliau kepada Timbalan Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal yang memberi peluang kepada beliau untuk memangku jawatan Presiden.

Beliau berkata, biarpun Tunku Ismail telah melepaskan jawatan baginda, namun baginda tetap ada dalam sistem bolasepak negara sebagai Pengerusi Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dan Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemilihan Presiden baharu FAM akan diadakan pada Kongres FAM yang dijadualkan berlangsung pada 15 Julai 2018 dengan Tunku Ismail sebelum ini telah menamakan Datuk Wira Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai calon untuk menjawat jawatan Presiden FAM pada kongres akan datang.

Sehubungan itu pihak Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Wira Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden MUSA atas pemilihan sebagai pemangku.

Pihak MUSA juga mendoakan semoga Datuk Wira Mohd Yusoff akan dapat menjalankan tugas baharunya dengan penuh dedikasi demi pembangunan bolasepak negara yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Selamat menjalankan tugas baharu Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Leave a Comment

Contact Us

We're not around right now. But you can send us an email and we'll get back to you, asap.

Not readable? Change text.

Start typing and press Enter to search